Monday, December 6, 2010

Kelab Sahabat


Laman Taichi -
tempat aku sama-sama bertaichi
Pagi tadi seperti biasa (eh...biasa ke?), aku ke Taman Tasik Shah Alam untuk bertaichi.  Selepas taichi seperti biasalah juga aku berjoging sekeliling tasik sejauh kira-kira 3km.  Bukan jogging pun, jalan kaki je... 

Di hujung jogging aku ternampak satu khemah MBSA sedang buat promosi.  Promosi apa eh?  Siap kasi sandwic dengan air mineral free lagi.  Rupa-rupanya kempen mencari ahli Kelab Sahabat Taman Tasik yang bakal ditubuhkan.  OK juga tu...aku pun daftarlah...

Objektif kelab ini ialah untuk membantu memelihara dan memulihara kawasan Taman Tasik Shah Alam dan taman-taman di Shah Alam supaya ianya kekal untuk generasi akan datang.  Penaungnya ialah Datuk Bandar Shah Alam sendiri.

Antara aktiviti/program yang dicadangkan untuk dijalankan oleh kelab ini adalah program kesihatan (pemeriksaan kesihatan dan nasihat pemakanan), senamrobik/taichi, gotong-royong, penanaman pokok dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.  Yuran hanyalah RM10 setahun untuk orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas.  Untuk kanak-kanak yang berumur dari 5 - 17 tahun, yurannya hanyalah RM5 setahun.
 
Pokok yang tumbang ke dalam tasik dan ranting kayu yang patah terbiar

Masjid Negeri, Shah Alam
Semasa aku berjogging di sekeliling tasik, aku ada terpandang sebatang pokok tumbang ke dalam tasik.  Dah lama aku perhatikan pokok ni dalam keadaan demikian rupa tanpa dihiraukan oleh pihak MBSA.  Agak sakit mata memandang.  Semasa aku di khemah MBSA tadi aku ada tanyakan tentang perkara ini.  Rupa-rupanya memang MBSA sengaja biarkan pokok tu di situ.  Katanya untuk dijadikan tempat ikan bermain.  Hmmm...agak-agaknya banyak benda lain di sekitar Shah Alam ini yang menyakitkan mata dan menyusahkan pengguna, sengaja dibuat sebegitu rupa untuk tujuan tertentu.  Agaknya!
Menara Sultan Abdul Aziz Shah, UiTM

Tapi apapun, Taman Tasik Shah Alam ni memang cantik.  Ia dikelilingi oleh Masjid Negeri Shah Alam, pejabat kerajaan, hotel, pusat beli-belah, restoran, taman rekreasi dan yang paling gah -- UiTM.

Tapi, lagi cantik dan menarik kalau MBSA dapat melakukan penyenggaraan yang lebih teratur...

Taman Rekreasi Wet World
berlatarbelakangkan SIRIM

McDonald's -
tempat aku singgah malam-malam bila perut terasa lapar
 

Friday, December 3, 2010

LAF

Mesyuarat LAF telah diadakan pada 1 Dis yang lepas.  LAF atau Lembaga Akademik Fakulti adalah satu jawatankuasa tertinggi fakulti yang membuat keputusan yang berkaitan dengan akademik termasuk mengesahkan keputusan peperiksaan akhir.  LAF juga akan menentukan tindakan lanjut yang perlu dilakukan terhadap sesuatu perkara luar biasa terhadap keputusan peperiksaan.  LAF yang dipengerusikan oleh dekan dianggotai oleh timbalan dekan, pengerusi pusat pengajian dan beberapa orang profesor yang dilantik.

Nampaknya tidak banyak perubahan yang telah dilakukan oleh LAF dalam mesyuarat tersebut.  Kesedihan yang aku rasakan sebagaimana yang aku luahkan dalam "Validasi" bertarikh 26 Nov yang lepas tetap seperti itu.  Hanya tinggal Lembaga Peperiksaan UiTM yang akan bermesyurat 8 Dis ini saja yang mungkin boleh mengubahnya.  Namun, biasanya jawatankuasa ini jarang melakukan apa-apa perubahan yang diputuskan oleh LAF.

Selain daripada satu kursus untuk CS221 yang dimaksudkan, sebenarnya terdapat satu lagi kursus untuk program lain yang lebih teruk.  Kesemua pelajar yang menduduki peperiksaan untuk kursus ini GAGAL.  Dengan kata lain...kegagalan adalah 100%.  LAF terpaksa meminta supaya kesemua kertas peperiksaan termasuk kerja kursus disemak semula.  Dan pagi tadi, LAF telah mengadakan satu mesyuarat khas untuk melihat kembali keputusan peperiksaan kursus tersebut.  Hasilnya, kira-kira 40% pelajar telah lulus.

Pada pendapatku, prestasi pelajar bergantung kepada empat faktor utama.  Pertama, pelajar itu sendiri, kedua pensyarahnya, ketiga kandungan kursus/silabus dan keempat ialah suasana pembelajaran termasuk bilik kuliah, peralatan dan seumpamanya.  Sekiranya peratusan kegagalan terlalu tinggi, aku lebih cenderong meletakkan kesalahan ke atas pensyarah itu sendiri.  Hampir tidak mungkin kebanyakan pelajar dalam kumpulan tersebut lemah.  Mereka diterima masuk setelah memperolehi kelulusan tertentu yang telah ditetapkan.

Tidak juga kepada kandungan kursus kerana ia telah diterima pakai dan telah dilaksanakan kepada kumpulan pelajar lain.  Sekiranya kandungan kursus merupakan penyebab utama, silabusnya dianggap tidak sesuai dan harus ditukar.  Begitu juga dengan suasana pembelajaran. 

Semasa aku masih menjadi TD dan mempengerusikan mesyuarat LAF pada suatu ketika dahulu, ada kampus cawangan yang mempamerkan keputusan yang sangat cemerlang untuk pelajar mereka.  Prestasi pelajar tersebut jauh lebih baik jika dibandingkan dengan pelajar dari kampus lain termasuk kampus Shah Alam sendiri.  Jika diperhatikan kepada tiga faktor tadi (tidak termasuk faktor kandungan kursus), kampus tersebut tidak mempunyai apa-apa kelebihan berbanding kampus lain.  Pelajar diagihkan secara rawak.  Pensyarah di kampus Shah Alam pastinya jauh lebih baik.  Suasana pembelajaran? Hmmm...mungkin lebih sikit kot.

Jadi, apakah lagi faktor yang menjadikan pelajar mereka cemerlang?  Aku telah menyarankan supaya kampus lain termasuk Shah Alam membuat lawatan ke kampus tersebut dan belajar cara untuk menjadikan pelajar cemerlang.

Sehingga kini kampus tersebut masih terus menghasilkan pelajar yang lulus dengan cemerlang.  Dalam konvokesyen yang sedang berjalan sekarang, terdapat lebih daripada 20 graduan mereka mendapat kelas pertama.

Pada satu ketika, terdapat tujuh lulusan diploma dari kampus berkenaan yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Shah Alam telah diberhentikan pada semester pertama.  Padahal pelajar tersebut kebanyakannya telah tamat diploma dengan mendapat anugerah dekan.  Alasan yang diberikan ialah pelajar tersebut mengalami culture shock?

Berbalik kepada pelajar CS221 yang gagal satu kursus.  Lebih daripada 30 pelajar perlu menduduki peperiksaan khas pada 22 - 23 Dis yang akan datang.  Satu jumlah yang sangat besar. Sekiranya lulus, pelajar hanya diberikan gred C saja dan bolehlah meneruskan latihan praktik.  Katanya, ada ahli LAF yang mencadangkan supaya pelajar-pelajar ini tidak diberikan peperiksaan khas, sebaliknya mengulang satu semester lagi untuk satu kursus tersebut.  Semester yang berikutnya baru dibenarkan menjalani latihan praktik...itupun kalau lulus.  Gila!!!

Kepada pelajar-pelajar ini, bolehlah mula mengulangkaji selepas keputusan diumumkan nanti.  Bagi sesiapa yang mendapat gred C- atau D+, sekiranya ada duit lebih, aku sarankan supaya membuat penyemakan semula di samping menduduki peperiksaan khas.  Manalah tau, nasib menyebelahi you all.

Kepada sesiapa yang aku postkan ucapan tahniah di facebook, bermakna mereka mendapat AD (insya-Allah).  Kepada yang tertinggal aku mintak maaf.  Sekali lagi aku ingin ucapkan tahniah kepada kumpulan CS110/01 kerana telah menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan. Sembilan daripada 20 pelajar telah mendapat AD.   Tahniah kepada Muhammad'Umar Rasydan kerana tampil menjadi pelajar terbaik dalam kelas tu...tahniah!!!  Pelajar yang tidak menjadi kawan aku kat facebook...i have no comment...

©2010 arif fikri abas
Bergambar bersama Pelajar CS110/01 Julai 2010.
Muhammad'Umar Rasydan (kiri).

Tuesday, November 30, 2010

Kenduri Kawin

Di hujung-hujung tahun begini ramai keluarga, jiran dan kawan yang mengadakan majlis kenduri. Tak kesahlah sama ada kenduri kawin anak, cucu ataupun sendiri kawin; ataupun kenduri berkhatan; atau kenduri kesyukuran dan yang sewaktu dengannya. Aku sendiri saban minggu mendapat undangan, sama ada dari dekat mahupun jauh.

Saiful Azril dan isteri di atas singgahsana
Pada hari Sabtu yang lepas, aku berkesempatan hadir ke majlis kenduri kawin kawan sefakulti yang diadakan di Ipoh. Saiful Azril adalah pensyarah baru dari Jabatan Sains Aktuari. Majlis perkahwinan beliau diadakan di Dewan Bandaraya Ipoh (Town Hall).

Walaupun majlis tersebut diadakan pada hari Sabtu, aku telah ke sana pada petang Jumaat lagi. Menginap di Hotel Regalodge Ipoh selepas mendapati kesemua hotel yang terkemuka di Ipoh telah penuh. Setelah memperkenalkan diri sebagai kakitangan kerajaan, aku diberikan diskaun tetapi tiada sarapan pagi. Ahh, tak kesahlah...bukan bagus sangatpun sarapan di hotel tu. Banyak kedai makan di sekitar Ipoh yang boleh dipilih.

Selepas check-in, aku bercadang untuk bersiar-siar di bandar Ipoh, dan singgah di mana-mana ada pasar malam. Aku diberitahu oleh salah seorang staf hotel, ada satu pasar malam berhampiran Stadium Ipoh. Bila dilihat dalam GPS telefonku, jaraknya dengan hotel kira-kira 3.5 km saja. Rasanya tak jauh sangat kan? Jadi, aku mengambil keputusan untuk jalan kaki je. Rupa-rupanya aku tersalah tanggapan, 3.5 km sebenarnya agak jauh. Lebih malang lagi, tidak nampakpun tanda-tanda ada pasar malam di situ. Terpaksalah aku menapak balik dalam jarak yang sama selepas tidak ada sebuah teksi pun yang melintas.

Sempat singgah di warung depan padang Majlis Bandaraya Ipoh untuk makan malam. Di sini aku duduk di sebuah warung yang menyediakan udang galah dengan harga yang agak murah dan boleh tahan sedapnya. Nasi goreng udang galah hanyalah RM5.00 saja. Tiga ekor udang galah yang sedang saiznya. Sesiapa yang ke Ipoh bolehlah cuba.

Daisy
Pada pagi Sabtu aku sempat berjalan-jalan di pasar Ipoh. Di sana aku sempat beli beberapa pasu bunga daisy dengan harga hanya RM8 sepasu. Kemudian singgah di warung mamak untuk menikmati tose dan teh tarik.

Semasa balik ke hotel aku cuba mintak untuk "late check-out". Dengan sombongnya seorang staf perempuan yang agak berisi kat front desk di situ menjawab, "Di sini tidak ada late check-out!". Huh... bagusnya bahasa...

Jam 12, semasa check-out aku telah diberikan bil tanpa diskaun walaupun aku tidak disediakan sarapan. Ni yang aku angin ni...dahla sombong nak mampus, cakap lain buat lain. Lepas aku bising, barulah dia orang buat bil baru. Jadi, aku nasihatkan kawan-kawan yang pergi ke Ipoh, mungkin boleh cari hotel lain yang bersepah untuk menginap.
Tarian Melayu

Majlis perkahwinan Saiful Azril agak meriah dengan persembahan silat dan tarian. Makanan pun sedap.  Terima kasih Saiful. Kuucapkan selamat berbahagia hingga ke akhir hayat.

Pulang ke Shah Alam kira-kira jam 3.15 petang dalam hujan yang agak lebat di sepanjang perjalanan...

Friday, November 26, 2010

Validasi

Semalam, kebanyakan fakulti di UiTM mengadakan mesyuarat validasi keputusan peperiksaan selepas berakhirnya peperiksaan akhir pada 14 Nov yang lepas. Pada asalnya, mesyuarat bersama ketua program ini bertujuan untuk menyemak markah yang telah dimasukkan ke dalam komputer adalah betul sebagaimana markah yang diperolehi oleh pelajar. Di samping itu, penyelarasan mungkin juga dibuat ke atas markah pelajar tertentu supaya pelajar tersebut memperolehi CGPA tertentu. Misalnya, menambah beberapa markah kepada kursus tertentu supaya pelajar tersebut boleh meneruskan pengajian.

Semenjak semester lepas, UiTM telah memperkenalkan satu sistem yang diberi nama Result Entry System (RES). Dengan menggunakan sistem ini, semua markah pelajar perlu dimasukkan sendiri oleh pensyarah di pejabat masing-masing. Selepas diproses, disemak dan diubahsuai secukup rasa, markah ini di-upload ke sistem utama. Dengan yang demikian, mesyuarat validasi TIDAK perlu lagi menyemak markah yang dicetak oleh komputer, kerana markah tersebut sepatutnya telah betul. Mesyuarat validasi (mesyuarat penyelarasan) hanya perlu membuat penyelarasan markah terhadap pelajar tertentu sahaja.

Pada 1 Dis mesyuarat Lembaga Akademik Fakulti (LAF) akan diadakan untuk mengesahkan gred pelajar ini. Mungkin terdapat gred beberapa pelajar akan berubah. Seterusnya Lembaga Peperiksaan UiTM sekali lagi mengadakan mesyuarat untuk mengesahkan keputusan ini pada 8 Dis sebelum keputusan peperiksaan muktamad dimaklumkan kepada pelajar pada 10 Dis. Jadual aktiviti peperiksaan ini boleh dilihat di Jadual Aktiviti Akademik.

Di sini ingin aku mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pelajar CS110 yang aku ajar pada semester lepas kerana mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan lepas. Walaupun agak awal, namun keputusan peperiksaan ini biasanya hampir muktamad. Tahniah...kalau tak silap seramai 9 daripada 20 pelajar mendapat anugerah dekan.

Walau bagaimanapun aku rasa sedih jugak kerana lebih daripada separuh ex-student aku dari CS221 gagal dalam satu kursus tu, padahal mereka ni dah nak buat praktikal semester depan. Aku berharap dan berdoa semoga LAF boleh melakukan sesuatu untuk mengurangkan kegagalan ini. Takpe...get ready untuk peperiksaan khas yang akan diadakan pada 22 - 23 Dis nanti.

Perlu diingat, keputusan ini bukanlah keputusan rasmi...

Thursday, November 25, 2010

Salam

Selepas sekian lama aku tinggalkan blog ni berabuk, malam ni terasa pulak aku nak update blog aku nih. Berkebetulan aku ada sikit masa sambil menonton tv.

Malam ni dalam facebook ramai friends aku, kebanyakannya merupakan student aku, menulis pada profile masing-masing tentang penggunaan kata singkatan untuk "Assalamu'alaikum" sebagai "akum", "a'kum", "salam" dan seumpamanya. Kata singkatan ini akan memberikan maksud yang berbeza dengan maksud "Assalamu'alaikum" itu sendiri. Misalnya kata "akum" itu sebenarnya merupakan gelaran untuk orang-orang Yahudi untuk orang-orang bukan Yahudi yang bermaksud "BINATANG" dalam Bahasa Ibrani.‌

Aku sangat setuju dengan saranan ini. Sebenarnya polemik tentang perkara ini telah lama beredar dalam mailing list muslim. Supaya maksud yang ingin kita sampaikan itu tepat, ada baiknya kita menulis kata salam itu secara penuh atau singkatan kata yang mempunyai makna yang seakan-akan makna sebenarnya iaitu "Assalam" atau "Salam" saja sebagaimana yang disarankan.

Walau bagaimanapun, dalam dunia yang serba pantas ini, kekadang kita perlu meringkaskan tulisan kita seberapa ringkas yang mungkin, terutama apabila kita menghantar mesej melalui sms. Di samping kita dapat menjimatkan masa semasa menulisnya, kita juga dapat menjimatkan bandwidth.

Dalam penulisan, banyak kita temui singkatan yang sudah mantap penggunaannya seperti "dll", "etc", "cth", "eg", "ASAP" dsb. Perkataan ini jika disalahsebut, mungkin tidak memberi apa-apa signifikan yang besar seperti kata "ASAP" untuk "as soon as possible" yang sering disebut "asap" yang seolah-olah ia merupakan kata untuk asap api. Tetapi sekiranya singkatan ini untuk perkataan yang berkaitan dengan agama seperti kata salam ini, mungkin kita harus berhati-hati supaya maksudnya tidak jauh bezanya dengan maksud yang sebenar; atau lebih teruk lagi memberikan maksud yang hampir berlawanan.

Perkataan seperti "takzim" misalnya, sudah menjadi kebiasaan digunakan umum untuk menggantikan perkataan "ta'azim", selepas DBP tidak lagi menggunakan apostrope untuk menggantikan abjad jawi ('ain). Padahal, kedua-dua perkataan ini terdapat dalam kamus Bahasa Arab yang memberikan maksud yang sangat berbeza. Begitu juga dengan istilah "fitnah" sudah lumrah digunakan untuk maksud "menuduh tanpa bukti", padahal maksud sebenarnya mengikut al-Qur'an adalah jauh lebih luas daripada itu sehinggakan boleh dikiaskan bahawa "fitnah" itu lebih kejam daripada pembunuhan. Ulasan lanjut sila ke Maksud Fitnah.

Bila kita menulis nama nabi Muhammad biasanya kita meletakkan huruf (sod) di hujungnya untuk singkatan SallAllah-u-Alaihi-wa-Sallam. Umum mengetahuinya, dalam abjad rumi ia digantikan dengan singkatan "saw". Singkatan "saw" tidak seharusnya disebut sebagai "saw" sebagaimana perkataan Inggeris untuk gergaji atau untuk kata lampau "see", sebaliknya ia disebut penuh. Namun aku masih ingat seorang VVIP menyebut saw (gergaji) selepas nama Muhammad semasa memberi ucapan.

Jadi, pendapat aku cara menulis mungkin boleh dilonggarkan asalkan tidak mengelirukan dan pembaca tahu cara menyebutnya. "A'kum" adalah singkatan untuk dan harus disebut "assalamu'alaikum" bukannya akum. Tidak ada maknanya kalau kita menulis dengan lengkap dan tepat sebaliknya sebutannya kurang tepat. Ramai kita dengar orang memberi salam dengan menyebut "assamu'aikum", "samekom" dan seumpamanya yang tidak memberikan makna apa-apa atau memberikan makna yang buruk. Namun apalah bezanya dan apalah salahnya menulis "assalam" untuk singkatan "assalamu'alaikum".

Allahu'alam...


Maksud dan adat memberi salam boleh dilihat di SALAM DAN BERSALAMAN.