Showing posts with label UiTM exam. Show all posts
Showing posts with label UiTM exam. Show all posts

Friday, December 10, 2010

Peperiksaan Khas

Oleh kerana pada semester ini nampaknya ramai yang terpaksa menduduki peperiksaan khas (PK) atau supplementary exam, di sini aku nak cerita sikit berkenaan exam tu.  Sementelah ramai pelajar yang bertanyakan tentang perkara ini.  Ada yang sms, ada yang mesej kat facebook, ada yang email dan ada yang terus menelefon.

PK hanya diberikan kepada kursus yang ada peperiksaan akhir secara bertulis.  Tujuannya supaya pelajar dapat menamatkan pengajian mereka dalam tempoh pengajian yang ditetapkan.  Ia hanya ditawarkan kepada pelajar sepenuh masa saja.

Pelajar yang dibenarkan mengambil PK ialah:
  • Pelajar semester akhir yang berstatus lulus (LU) tapi gagal dalam satu atau dua kursus saja.
  • Pelajar semester sebelum menjalani latihan praktik (bagi program yang menjalankan latihan praktik pada semester akhir) yang berstatus LU tapi gagal dalam satu atau dua kursus saja.
  • Pelajar semester akhir yang diberhentikan dengan status D3, D4, D5 serta mempunyai satu atau dua kursus sahaja untuk tamat.
  • Pelajar semester akhir yang tidak dapat menduduki peperiksaan bagi satu atau dua kursus kerana disahkan sakit oleh doktor universiti atau hospital kerajaan.  Pelajar ini harus mendapat status XX untuk kursus tersebut.
  • Pelajar semester akhir yang berstatus lulus tetapi gagal dalam satu atau dua kursus saja kerana dijatuhkan hukuman tatatertib dengan gred F atau gagal tanpa penggantungan pengajian.
Program Diploma dan Ijazah Sarjanamuda UiTM, Pindaan 2008, 27]

Tapi perlu diingat, walau berapapun markah yang diperolehi oleh pelajar, gred maksimum yang boleh diperolehi ialah gred C sahaja.  Hanya pelajar yang mendapat status XX sahaja yang akan diberikan gred sebenar.

Walaupun PK ini bertujuan untuk membantu pelajar, yuran sebanyak RM100 dikenakan untuk setiap kursus.  Yuran ini bukanlah bertujuan untuk menambah hasil UiTM, sebaliknya untuk mengelak daripada pelajar saja suka-suka untuk menduduki PK tanpa sebarang persediaan.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan beberapa kali dalam post yang terdahulu bertajuk "Keputusan Peperiksaan", "LAF" dan "Validasi", tarikh PK bagi semester ini ialah pada 21 - 23 Dis (bukan dari 22 Dis seperti yang dinyatakan sebelumnya). Kepada pelajar-pelajar yang berkenaan, sila mendaftar dan berhubung dengan fakulti selewat-lewatnya pada 14 Dis ini. Maklumat lanjut ada dinyatakan dalam UiTM Student Portal.

Good luck...

Thursday, December 9, 2010

Keputusan Peperiksaan

Semalam, 8 Dis, Lembaga Peperiksaan UiTM telah selamat bersidang.  Sebagaimana yang pernah disebut dalam post aku yang terdahulu di bawah tajuk "Validasi" dan "LAF", jawatan kuasa ini merupakan jawatan kuasa tertinggi di UiTM yang mengesahkan keputusan peperiksaan akhir semua pelajar UiTM.  Keputusan peperiksaan yang disahkan oleh jawatan kuasa ini merupakan keputusan muktamad.

Selepas pengesahan ini, keputusan peperiksaan akan dihebahkan kepada pelajar melalui email.  Keputusan ini juga akan diumumkan melalui portal rasmi UiTM.  Ia akan diumumkan pada jam 9.00 pagi esok, 10 Dis.

Pada semester-semester sebelumnya, keputusan terus diumumkan sebaik saja mesyuarat selesai.  Kali ini nampaknya pihak UiTM lebih berhati-hati dengan memberi masa dua hari kepada PSMB untuk membuat pengemaskinian sebelum ianya dihebahkan.  Dengan yang demikian, ia boleh mengelakkan/ mengurangkan kesilapan dalam pengiraan gred pelajar.

Bermula pada semester ini juga, di samping penggunaan portal rasmi, email juga digunakan.  Dengan cara ini diharapkan kesesakan capaian kepada server UiTM boleh dikurangkan.

Nampaknya, pada siang tadi setengah-setengah pelajar sudahpun dapat melihat keputusan peperiksaan mereka melalui portal.  Namun ramai yang mengeluh kerana tidak berjaya untuk mencapainya.  Dan ada juga yang berjaya, tetapi keputusan mereka masih belum dikemaskini.

Pada pandangan aku, dengan beberapa penambahbaikan yang dibuat, pada semester ini server UiTM tidaklah sesesak semester lepas.  Namun, pasti ada pelajar yang sukar untuk mencapainya terutamanya pada masa-masa puncak.  Nasihat aku, bersabarlah.  Cepat atau lambatnya kita melihat keputusan itu, ia tetap sama.  Tidak ada apa yang perlu dikejar.  Tidak perlulah memaki hamun, memperlekehkan UiTM kerana kononnya sistem yang lembab dan sebagainya.

Seperti juga di musim perayaan, ramai orang akan pulang ke kampung menyebabkan jalan raya menjadi sesak.  Apakah kita perlu mendesak kerajaan supaya membina lebuhraya 20 lorong supaya kesesakan tidak lagi berlaku padahal pada masa-masa biasa ianya lengang?  Begitulah juga keadaannya dengan server UiTM.  Kalau diperhatikan, sebenarnya, server UiTM jauh lebih baik daripada universiti-universiti yang lain.  UiTM mempunyai berbagai-bagai sistem dalam talian untuk menampung kira-kira 150,000 pelajar.  Berbanding dengan universiti lain yang hanya mempunyai bilangan pelajar 10% hinga 20% sahaja daripada bilangan pelajar UiTM.

Bagi yang berjaya terutama yang mendapat AD, sekali lagi aku ucapkan tahniah.  Aku juga turut berbangga dengan prestasi kalian.  Bagi yang tidak berjaya, janganlah terlalu tertekan.  Mungkin ada hikmah di sebaliknya.  Usaha lagi semester ini.  Sekiranya pelajar ingin membuat rayuan, silalah merayu dalam masa dua minggu selepas 10 Dis.

Bagi pelajar yang akan tamat atau akan menjalani latihan praktik dan masih gagal satu kursus, bolehlah menduduki peperiksaan khas yang akan diadakan pada 22 - 23 Dis nanti.  Jangan lupa buat pendaftaran secara online. 

Di samping tahniah untuk kawan-kawan pelajar, aku terharu apabila aku juga turut menerima tahniah berikut melalui facebook:
Alharith Alfadang Fasir: congrat sbb prof masih sihat,senang hati,pnjg umur & dimurahkan rezeki..xsmue org dpt nikmat cm 2..so kne la bersyukur kpd ALLAH s.w.t.
Thanks IS...

Friday, December 3, 2010

LAF

Mesyuarat LAF telah diadakan pada 1 Dis yang lepas.  LAF atau Lembaga Akademik Fakulti adalah satu jawatankuasa tertinggi fakulti yang membuat keputusan yang berkaitan dengan akademik termasuk mengesahkan keputusan peperiksaan akhir.  LAF juga akan menentukan tindakan lanjut yang perlu dilakukan terhadap sesuatu perkara luar biasa terhadap keputusan peperiksaan.  LAF yang dipengerusikan oleh dekan dianggotai oleh timbalan dekan, pengerusi pusat pengajian dan beberapa orang profesor yang dilantik.

Nampaknya tidak banyak perubahan yang telah dilakukan oleh LAF dalam mesyuarat tersebut.  Kesedihan yang aku rasakan sebagaimana yang aku luahkan dalam "Validasi" bertarikh 26 Nov yang lepas tetap seperti itu.  Hanya tinggal Lembaga Peperiksaan UiTM yang akan bermesyurat 8 Dis ini saja yang mungkin boleh mengubahnya.  Namun, biasanya jawatankuasa ini jarang melakukan apa-apa perubahan yang diputuskan oleh LAF.

Selain daripada satu kursus untuk CS221 yang dimaksudkan, sebenarnya terdapat satu lagi kursus untuk program lain yang lebih teruk.  Kesemua pelajar yang menduduki peperiksaan untuk kursus ini GAGAL.  Dengan kata lain...kegagalan adalah 100%.  LAF terpaksa meminta supaya kesemua kertas peperiksaan termasuk kerja kursus disemak semula.  Dan pagi tadi, LAF telah mengadakan satu mesyuarat khas untuk melihat kembali keputusan peperiksaan kursus tersebut.  Hasilnya, kira-kira 40% pelajar telah lulus.

Pada pendapatku, prestasi pelajar bergantung kepada empat faktor utama.  Pertama, pelajar itu sendiri, kedua pensyarahnya, ketiga kandungan kursus/silabus dan keempat ialah suasana pembelajaran termasuk bilik kuliah, peralatan dan seumpamanya.  Sekiranya peratusan kegagalan terlalu tinggi, aku lebih cenderong meletakkan kesalahan ke atas pensyarah itu sendiri.  Hampir tidak mungkin kebanyakan pelajar dalam kumpulan tersebut lemah.  Mereka diterima masuk setelah memperolehi kelulusan tertentu yang telah ditetapkan.

Tidak juga kepada kandungan kursus kerana ia telah diterima pakai dan telah dilaksanakan kepada kumpulan pelajar lain.  Sekiranya kandungan kursus merupakan penyebab utama, silabusnya dianggap tidak sesuai dan harus ditukar.  Begitu juga dengan suasana pembelajaran. 

Semasa aku masih menjadi TD dan mempengerusikan mesyuarat LAF pada suatu ketika dahulu, ada kampus cawangan yang mempamerkan keputusan yang sangat cemerlang untuk pelajar mereka.  Prestasi pelajar tersebut jauh lebih baik jika dibandingkan dengan pelajar dari kampus lain termasuk kampus Shah Alam sendiri.  Jika diperhatikan kepada tiga faktor tadi (tidak termasuk faktor kandungan kursus), kampus tersebut tidak mempunyai apa-apa kelebihan berbanding kampus lain.  Pelajar diagihkan secara rawak.  Pensyarah di kampus Shah Alam pastinya jauh lebih baik.  Suasana pembelajaran? Hmmm...mungkin lebih sikit kot.

Jadi, apakah lagi faktor yang menjadikan pelajar mereka cemerlang?  Aku telah menyarankan supaya kampus lain termasuk Shah Alam membuat lawatan ke kampus tersebut dan belajar cara untuk menjadikan pelajar cemerlang.

Sehingga kini kampus tersebut masih terus menghasilkan pelajar yang lulus dengan cemerlang.  Dalam konvokesyen yang sedang berjalan sekarang, terdapat lebih daripada 20 graduan mereka mendapat kelas pertama.

Pada satu ketika, terdapat tujuh lulusan diploma dari kampus berkenaan yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Shah Alam telah diberhentikan pada semester pertama.  Padahal pelajar tersebut kebanyakannya telah tamat diploma dengan mendapat anugerah dekan.  Alasan yang diberikan ialah pelajar tersebut mengalami culture shock?

Berbalik kepada pelajar CS221 yang gagal satu kursus.  Lebih daripada 30 pelajar perlu menduduki peperiksaan khas pada 22 - 23 Dis yang akan datang.  Satu jumlah yang sangat besar. Sekiranya lulus, pelajar hanya diberikan gred C saja dan bolehlah meneruskan latihan praktik.  Katanya, ada ahli LAF yang mencadangkan supaya pelajar-pelajar ini tidak diberikan peperiksaan khas, sebaliknya mengulang satu semester lagi untuk satu kursus tersebut.  Semester yang berikutnya baru dibenarkan menjalani latihan praktik...itupun kalau lulus.  Gila!!!

Kepada pelajar-pelajar ini, bolehlah mula mengulangkaji selepas keputusan diumumkan nanti.  Bagi sesiapa yang mendapat gred C- atau D+, sekiranya ada duit lebih, aku sarankan supaya membuat penyemakan semula di samping menduduki peperiksaan khas.  Manalah tau, nasib menyebelahi you all.

Kepada sesiapa yang aku postkan ucapan tahniah di facebook, bermakna mereka mendapat AD (insya-Allah).  Kepada yang tertinggal aku mintak maaf.  Sekali lagi aku ingin ucapkan tahniah kepada kumpulan CS110/01 kerana telah menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan. Sembilan daripada 20 pelajar telah mendapat AD.   Tahniah kepada Muhammad'Umar Rasydan kerana tampil menjadi pelajar terbaik dalam kelas tu...tahniah!!!  Pelajar yang tidak menjadi kawan aku kat facebook...i have no comment...

©2010 arif fikri abas
Bergambar bersama Pelajar CS110/01 Julai 2010.
Muhammad'Umar Rasydan (kiri).

Friday, November 26, 2010

Validasi

Semalam, kebanyakan fakulti di UiTM mengadakan mesyuarat validasi keputusan peperiksaan selepas berakhirnya peperiksaan akhir pada 14 Nov yang lepas. Pada asalnya, mesyuarat bersama ketua program ini bertujuan untuk menyemak markah yang telah dimasukkan ke dalam komputer adalah betul sebagaimana markah yang diperolehi oleh pelajar. Di samping itu, penyelarasan mungkin juga dibuat ke atas markah pelajar tertentu supaya pelajar tersebut memperolehi CGPA tertentu. Misalnya, menambah beberapa markah kepada kursus tertentu supaya pelajar tersebut boleh meneruskan pengajian.

Semenjak semester lepas, UiTM telah memperkenalkan satu sistem yang diberi nama Result Entry System (RES). Dengan menggunakan sistem ini, semua markah pelajar perlu dimasukkan sendiri oleh pensyarah di pejabat masing-masing. Selepas diproses, disemak dan diubahsuai secukup rasa, markah ini di-upload ke sistem utama. Dengan yang demikian, mesyuarat validasi TIDAK perlu lagi menyemak markah yang dicetak oleh komputer, kerana markah tersebut sepatutnya telah betul. Mesyuarat validasi (mesyuarat penyelarasan) hanya perlu membuat penyelarasan markah terhadap pelajar tertentu sahaja.

Pada 1 Dis mesyuarat Lembaga Akademik Fakulti (LAF) akan diadakan untuk mengesahkan gred pelajar ini. Mungkin terdapat gred beberapa pelajar akan berubah. Seterusnya Lembaga Peperiksaan UiTM sekali lagi mengadakan mesyuarat untuk mengesahkan keputusan ini pada 8 Dis sebelum keputusan peperiksaan muktamad dimaklumkan kepada pelajar pada 10 Dis. Jadual aktiviti peperiksaan ini boleh dilihat di Jadual Aktiviti Akademik.

Di sini ingin aku mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pelajar CS110 yang aku ajar pada semester lepas kerana mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan lepas. Walaupun agak awal, namun keputusan peperiksaan ini biasanya hampir muktamad. Tahniah...kalau tak silap seramai 9 daripada 20 pelajar mendapat anugerah dekan.

Walau bagaimanapun aku rasa sedih jugak kerana lebih daripada separuh ex-student aku dari CS221 gagal dalam satu kursus tu, padahal mereka ni dah nak buat praktikal semester depan. Aku berharap dan berdoa semoga LAF boleh melakukan sesuatu untuk mengurangkan kegagalan ini. Takpe...get ready untuk peperiksaan khas yang akan diadakan pada 22 - 23 Dis nanti.

Perlu diingat, keputusan ini bukanlah keputusan rasmi...