Friday, November 26, 2010

Validasi

Semalam, kebanyakan fakulti di UiTM mengadakan mesyuarat validasi keputusan peperiksaan selepas berakhirnya peperiksaan akhir pada 14 Nov yang lepas. Pada asalnya, mesyuarat bersama ketua program ini bertujuan untuk menyemak markah yang telah dimasukkan ke dalam komputer adalah betul sebagaimana markah yang diperolehi oleh pelajar. Di samping itu, penyelarasan mungkin juga dibuat ke atas markah pelajar tertentu supaya pelajar tersebut memperolehi CGPA tertentu. Misalnya, menambah beberapa markah kepada kursus tertentu supaya pelajar tersebut boleh meneruskan pengajian.

Semenjak semester lepas, UiTM telah memperkenalkan satu sistem yang diberi nama Result Entry System (RES). Dengan menggunakan sistem ini, semua markah pelajar perlu dimasukkan sendiri oleh pensyarah di pejabat masing-masing. Selepas diproses, disemak dan diubahsuai secukup rasa, markah ini di-upload ke sistem utama. Dengan yang demikian, mesyuarat validasi TIDAK perlu lagi menyemak markah yang dicetak oleh komputer, kerana markah tersebut sepatutnya telah betul. Mesyuarat validasi (mesyuarat penyelarasan) hanya perlu membuat penyelarasan markah terhadap pelajar tertentu sahaja.

Pada 1 Dis mesyuarat Lembaga Akademik Fakulti (LAF) akan diadakan untuk mengesahkan gred pelajar ini. Mungkin terdapat gred beberapa pelajar akan berubah. Seterusnya Lembaga Peperiksaan UiTM sekali lagi mengadakan mesyuarat untuk mengesahkan keputusan ini pada 8 Dis sebelum keputusan peperiksaan muktamad dimaklumkan kepada pelajar pada 10 Dis. Jadual aktiviti peperiksaan ini boleh dilihat di Jadual Aktiviti Akademik.

Di sini ingin aku mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pelajar CS110 yang aku ajar pada semester lepas kerana mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan lepas. Walaupun agak awal, namun keputusan peperiksaan ini biasanya hampir muktamad. Tahniah...kalau tak silap seramai 9 daripada 20 pelajar mendapat anugerah dekan.

Walau bagaimanapun aku rasa sedih jugak kerana lebih daripada separuh ex-student aku dari CS221 gagal dalam satu kursus tu, padahal mereka ni dah nak buat praktikal semester depan. Aku berharap dan berdoa semoga LAF boleh melakukan sesuatu untuk mengurangkan kegagalan ini. Takpe...get ready untuk peperiksaan khas yang akan diadakan pada 22 - 23 Dis nanti.

Perlu diingat, keputusan ini bukanlah keputusan rasmi...

1 comment: